Kayfiyyah (Cara Melakukan) Sujud Sahwi
Dalam mazhab as-Syafi‘e, sujud sahwi dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.
Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam.
Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi tersebut bacaan tasbih berikut:
Maksudnya: "Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai"
Adakah Memadai Dua Kali Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?
Imam Khatib as-Sharbini menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam Bukhari, bahwasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang fardhu Zuhur ataupun ‘Asar bersama kami, lalu Baginda memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Zul Yadain: "Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah dikurangkan?". Lalu Baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya: "Benarkah apa yang dikatakannya?" Para sahabat lalu menjawab: "Benar ya Rasulullah". Lalu Baginda pun menyambung dua raka‘at terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi)".
(Hadits riwayat Imam Bukhari)
Berdasarkan hadits tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua raka‘at penuh termasuk rukun-rukun serta sunat-sunat ab‘adh yang ada dalam kedua-dua raka‘at tersebut.
Hukum Melakukan Sujud Sahwi Selepas Salam
Menurut pendapat yang paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e, waktu untuk mengerjakan sujud sahwi itu ialah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam, ini berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah bin Buhainah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdiri setelah dua raka‘at bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam".
(Hadits riwayat Imam Bukhari)
Bagaimanapun, disunatkan juga untuk melakukan sujud sahwi selepas salam jika terlupa untuk mengerjakannya sebelum salam dengan syarat belum jauh jarak waktu pada kebiasannya di antara salamnya tadi dengan waktu teringat dan juga tidak terkena najis, sekalipun seseorang itu telah bercakap-cakap sedikit (kira-kira tidak membatalkan sembahyang) ataupun telah membelakangi qiblat sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Ini berdasarkan hadits dari Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang Zuhur bersama kami sebanyak lima raka‘at. Setelah Baginda memberi salam, lalu ditanyakan kepadanya: "Adakah telah ditambah (raka‘at) sembahyang?" Lalu Baginda bertanya kembali: "Apa yang ditambah?" Lalu para sahabat pun menjawab: "Tuan telah bersembahyang lima raka‘at". Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi)".
(Hadits riwayat Imam Muslim)
No comments:
Post a Comment